BAB I
PENDAHULUAN
Al-Quran merupakan salah satu kitab yang diturunkan oleh Allah
kepada Nabi Muhammad bagi memandu kehidupan manusia
ke jalan kebenaran dan diredhai oleh Allah. Quran menurut pendapat yang paling
kuat seperti yang dikemukakan Dr.Subhi Al Salih bererti “bacaan” yang berasal
daripada perkataan qara’a. Kata Al-Quran itu berbentuk masdar dengan erti isim
maf’ul iaitu maq’ru(dibaca). (Tafsir Quran)
Al-Quran adalah salah satu sumber perundangan manusia yang
disepakati. Hal ini demikian adalah kerana al-Quran
adalah bersifat syumul dan di dalamnya terkandung pelbagai jenis hukum iaitu
dari sudut akidah, akhlak dan amalan. Sesungguhnya ayat-ayat al-Quran ini
sangat cermat dan teliti, jelas dan terperinci yang telah ditetapkan oleh Allah
s.w.t. Kitab ini mempunyai mukjizat dari segi keindahan bahasa, isi kandungan dan dari segi ilmu. Hal ini terbukti
apabila ayat-ayat yang terkandung di dalamnya tidak dapat ditandingi oleh
mana-mana makhluk.
Penurunan al-Quran juga telah menasakhkan kitab-kitab samawi yang
turun sebelumnya. Kedudukan al-Quran itu amat tinggi
dan mulia disisi Allah. Firman Allah: (Al-Zukhruf 43:4).
Maksudnya: Dan sesungguhnya Al-Quran itu dalam ibu suratan di sisi
kami sangat tinggi (kemuliaannya), lagi amat banyak mengandungi hikmat-hikmat
dan kebenaran yang tetap kukuh.
Al-Quran turut juga menjelaskan mengenai cara
dan bentuk al-Quran menunjukkan hukum. Cara dan bentuk al-Quran menunjukkan
dalam hukum adalah dalam dua keaadan iaitu, terdapat hukum yang di terima
secara qat’iyy dan zanniyy.
Kesimpulannya al-Quran merupakan sumber perundangan yang pertama
dalam menentukan hukum-hukum.
BAB II
PEMBAHASAN
A.
PENGERTIAN
AL-QURAN
·
Al-Quran dapat
diberikan dengan beberapa pengertian, antaranya ialah:
1)
Kalam Allah
yang diturunkan kepada Nabi Muhammad dalam bahasa Arab, tidak boleh dicabar
walaupun dengan surah yang paling pendek, ditulis pada mashaf, diriwayatkan
secara mutawatir, membacanya adalah ibadat, dimulakan dengan surah al-Fatihah
dan diakhiri dengan surah al-Nas.(Abdul Karim
Zaidan 2009:119)
2)
Al-Quran ialah
kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad, ditulis dalam mashaf dan dipindahkan
kepada kita secara mutawatir tanpa ada keraguan lagi.(Abdul Karim Zaidan
2009:119)
3) Al-Quran ialah lafaz di dalam bahasa Arab yang diturunkan kepada Nabi
Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibril. Al-Quran menjadi mukjizat kepada
Baginda dan dipindahkan kepada umatnya secara mutawatir dan dikira ibadat
apabila membacanya.(Abd. Latif Muda 1997:63)
3)
4) Al-Quran
ialah kalam Allah yang azali dan sekali gus berfungsi sebagai mukjizat untuk
membuktikan kebenaran kerasulan Nabi Muhammad yang mana ia diturunkan kepada
baginda melalui perantaraan malaikat Jibril, yang ditulis di dalam mashaf,
kemudiannya diriwayatkan secara mutawatir dan dikira ibadat apabila membacanya.(Abd.
Latif Muda 1997:63)
4)
5) Al-Quran
ialah suatu lafaz yang boleh difahami, iaitu bahasa Arab yang diturunkan kepada
Nabi Muhammad yang dapat melemahkan musuhnya dengan sesuatu ayat dan surah yang
terkandung dalamnya, yang dipindahkan dengan cara mutawatir dan sesiapa yang
membacanya merupakan ibadat.(Abd Latif Muda 1997:63)
Sebagai rumusan daripada beberapa pengertian seperti yang
dinyatakan di atas, al-Quran boleh didefinisikan
sebagai lafaz dalam bahasa Arab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w
melalui perantaraan malaikat Jibril, menjadi mukjizat kepada Baginda,
dipindahkan secara mutawatir, dikira ibadat apabila membacanya, bermula dari
surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas.
B.
CIRI-CIRI
AL-QURAN
Berdasarkan takrif yang dinyatakan sebelum ini, maka dapat
disimpulkan bahawa al-Quran mempunyai ciri-ciri tertentu yang membezakannya
dengan kitab-kitab yang lain. Antara ciri-ciri al-Quran ialah:
1)
Lafaz dan makna
al-Quran datang daripada Allah, manakala Rasul adalah sebagai penyampai
lafaznya dalam bahasa Arab Fusha.(Mohd Nasran Mohamad 2001:78)
2)
Ia dipindahkan
(diriwayatkan) secara mutawatir. Oleh kerana periwayatan-periwayatan sebagai
al-Quran, tetapi bilangan perawinya sedikit tidak dianggap sebagai al-Quran,
sebaliknya ia dianggap sebagai riwayat yang shadh. (Mohd. Nasran Mohamad
2001:78)
3)
Ia sampai
kepada kita tanpa berkurangan atau bertambah kandungannya, kerana Allah telah
menjamin akan memeliharanya, seperti firman Allah : (Mohd Nasran Mohamad
2001:78), (Al-Hijr 15:9)
Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan
Kamilah yang memelihara dan menjaganya.
4)
Ia mengandungi
mukjizat. Maksudnya, semua makhluk tidak akan dapat membuat ayat-ayat seumpama
al-Quran. (Mohd Nasran Mohamad 2001:79).
C.
KEHUJAHAN
AL-QURAN
Pada zaman Rasulullah s.a.w. , Baginda menyelesaikan sesuatu
masalah dan menjatuhkan ketetapan hukum melalui wahyu sama ada dalam bentuk
menjawab pertanyaan yang diajukan kepada Baginda atau ketetapan yang ditentukan
oleh Allah serta melalui ijtihad dan dibetulkan oleh al-Quran seandainya ada
ijtihad yang dilakukan oleh Baginda kurang tepat. (Abd Latif Muda 1997 : 67)
Kedudukan dan peranan al-Quran dalam perundangan merupakan sumber
pertama dalam penetapan hukum yang disampaikan kepada kita secara mutawatir.
Oleh itu, al-Quran juga merupakan wahyu yang mengandungi pengajaran dan petunjuk
kepada manusia. (Abd Latif Muda 1997 : 67)
Firman Allah :( Al-Isra’ 17 : 9)
Maksudnya: Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang
betul (agama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan kepada
orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka
beroleh pahala yang besar.
Penerimaan al-Quran sebagai hujah sememangnya tidak dapat
dipertikaikan. Hal ini demikian adalah kerana al-Quran diturunkan secara
mutawatir iaitu, diriwayatkan oleh ramai perawi yang mustahil mereka berpakat
untuk berdusta. Selain itu, akal manusia juga tidak dapat menolak dan menafikan
kebenaran yang di sampaikan dan yang terkandung di dalam al-Quran.
Penerimaan al-Quran sebagai hujah sememangnya tidak dapat
dipertikaikan. Hal ini demikian adalah kerana al-Quran diturunkan secara
mutawatir iaitu, diriwayatkan oleh ramai perawi yang mustahil mereka berpakat
untuk berdusta. Selain itu, akal manusia juga tidak dapat menolak dan menafikan
kebenaran yang di sampaikan dan yang terkandung di dalam al-Quran.
Para ulama juga telah bersepakat bahawa al-Quran adalah hujah dan
beramal dengannya adalah wajib. Oleh itu, tidak boleh menggunakan dalil yang
lain selain dalil al-i kecuali tidak terdapat di dalamnya setelah dicari. Hal
ini demikian kerana al-Quran datangnya daripada Allah s.w.t. , dan diturunkan
melalui perantaraan Jibril. Al-Quran juga merupakan satu mukjizat, iaitu
ayat-ayat yang terkandung di dalamnya tidak boleh ditandingi oleh mana-mana
makhluk. Diantara syarat
·
syarat mukjizat
al-Quran ialah :
1)
Melontar
cabaran, firman Allah :
Maksudnya : Dan jika kamu tetap dalam keraguan tentang al-Quran
yang kami wahyukan kepada hamba kami (Muhammad) buatlah satu surah sahaja yang
menyamai al-Quran dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu
orang-orang yang benar.
2)
Wujudnya asas
untuk mencabar, iaitu nabi memberitahu bahawa agama selain daripada agama Islam
adalah terbatal.
3)
Tiada halangan
untuk dicabar. Hal ini demikian adalah kerana bahasa Arab adalah amat difahami
dan dapat dikuasai dengan baik oleh pihak Quraisy.
Dapatlah disimpulkan bahawa mukjizat al-Quran telah membuktikan
bahawa al-Quran merupakan sumber utama dalam pengeluaran sumber-sumber hukum
dan ayat-ayat yang terkandung di dalamnya adalah hujah.
D.
BENTUK I’JAZ
AL-QURAN
Faktor terpenting tentang kehujahan al-Quran ialah bersifat i’jaz.
Mukjizat al-Quran terbahagi kepada beberapa bahagian, antaranya mukjizat dari
segi bahasa, isi kandungan dan dari segi ilmu.
Al-Quran mempunyai berbagai mukjizat. Antara mukjizat al-Quran
ialah sentiasa dijamin oleh Allah daripada ditokok tambah atau dikurangkan
kandungan di dalamnya untuk dijadikan pedoman atau panduan umat manusia
sehingga hari akhirat. Mukjizat al-Quran secara lebih khusus dapat dibahagikan
kepada beberapa bahagian berikut :(Rosmawati Ali @Mat Zin 1997:35)
1)
Mukjizat dari
segi bahasa
2)
Mukjizat dari
segi isi kandungan
3)
Mukjizat dari
segi ilmu.
·
Mukjizat Dari
Segi Bahasa
Bahasa al-Quran amat indah, padat dan tidak dapat ditandingi oleh
pakar bahasa daripada semua peringkat dan zaman. Antara lain mukjizat al-Quran
dari segi bahasa ialah melalui keindahan dari susunannya, gaya bahasanya dari
segi fasahah dan balaghah. (Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997:35).
Kelebihan al-Quran melalui ketinggian gaya bahasanya tidak dapat
ditandingi oleh sesiapa, dibawa oleh Nabi Muhammad yang bersifat ummi. Hal
tersebut untuk membuktikan dan mengukuhkan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah.
Al-Quran adalah kalam Allah dan bukan ciptaan atau ucapan Nabi Muhammad. (Rosmawati
Ali @ Mat Zin 1997:35)
·
Mukjizat Dari
Segi Isi Kandungan
Al-Quran mengandungi peristiwa dan kisah yang telah berlaku pada
zaman lampau dan zaman sebelum Nabi Muhammad. Peristiwa tersebut benar-benar
berlaku dan bukan mitos atau dongeng. Selain itu, ayat serta surah yang
terdapat di dalam al-Quran mempunyai hubung kait antara satu dengan lain dan
tidak ada sedikit pun percanggahan sama ada dari aspek berita, pengajaran dan
apa sahaja yang terkandung dalamnya. (Rosmawati Ali @Mat Zin 1997: 36-37)
Al-Quran merupakan mukjizat yang lengkap dan sempurna dan tidak
dapat ditandingi oleh sesiapa pun. Antara lain mukjizat al-Quran ialah di
dalamnya meliputi berita alam ghaib. Mengenai cerita alam ghaib ialah perkara
yang tidak dapat difikir oleh akal seperti azab dan kenikmatan dalam kubur,
malaikat, syurga, neraka dan sebagainya. (Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997:38).
Isi kandungan al-Quran juga tidak bertentangan antara hakikat dan
realiti. Isi kandungan al-Quran mencakupi serta meliputi segala bidang ilmu
pengetahuan, baik ilmu keduniaan dan akhirat dan ia bersesuaian dengan
tempat,masa dan keadaan. Di samping itu juga sebagai khazanah ilmu pengetahuan
yang tepat dan betul. (Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997:38).
·
Mukjizat Dari
Segi Ilmu
Al-Quran mengandungi serta meliputi semua bidang ilmu pengetahuan,
antaranya: (Rosmawati Ali @Mat Zin 1997:40)
1)
Ilmu ibadat,
seperti sembahyang, puasa, zakat serta haji.
2)
Ilmu tentang
akidah dan menyeru semua manusia supaya mentauhidkan Allah dan mengabdikan diri
kepadaNya semata-mata.
3)
Pengetahuan
tentang muamalat dan perhubungan dengan manusia lain, contohnya tentang gadaian,
hutang-piutang dan jual beli.
4)
Di dalam bidang
ekonomi, Islam sentiasa menggalakkan umatnya mencari kebahagiaan untuk bekalan
di hari akhirat, di samping tidak mengabaikan urusan keduniaan dan mencari
harta.
5)
Dalam al-Quran
mengandungi ilmu Balaghah, Nahu, Sastera dan lainnya, Sejarah, Politik,
Pentadbiran dan semua ilmu yang tidak terhitung.
E.
KEDUDUKAN
AL-QURAN SEBAGAI SUMBER HUKUM
Kemukjizatan al-Quran dapat dilihat dari sudut bahasa, isi
kandungan serta ilmu. Keadaan ini menunjukkan bahawa al-Quran mempunyai
kedudukan yang tinggi sebagai sumber hukum.
·
Al-Quran adalah
asas bagi syariah Islam yang lain.
Firman Allah :(Al-An’am 6:38)
Maksudnya: Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan
tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka
umat-umat seperti kamu. Tiada kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab
al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka
(untuk dihisab dan menerima balasan).
Maksudnya semua perkara pokok yang diperlukan oleh manusia mengenai
agama atau pun perkara duniawi tersebut dalam al-Quran sama ada secara terperinci atau secara ijmaliyy. (Siti Zalikhah
Md.Nor 1999:24)
Firman Allah: (Al-Nahl 16:89)
Maksudnya: Dan (ingatkanlah tentang) hari kami bangkitkan dalam
kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka
sendiri; dan kami datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap
mereka ini (umatmu); dan kami turunkan kepadamu al-Quran menjelaskan tiap-tiap
sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang
mengembirakan, bagi orang-orang Islam.
Maksud ayat ini ialah al-Quran membawa hukum yang memaparkan
kaedah-kaedah umum dan dasar yang menyeluruh yang dapat dijadikan panduan
kepada manusia dalam kehidupan seharian. (Siti Zalikhah Md.Nor 1999:25)
Al-Quran menyatakan pelbagai perkara yang merangkumi semua asas dan
kaedah yang seharusnya ada dalam setiap undang-undang dan peraturan seperti
Islam mewajibkan keadilan, mengadakan musyawarah, menghilangkan kesempitan,
menolak kemudaratan, menunaikan amanah dan merujuk kepada orang yang
berkebolehan serta mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang pengkhususan. (Siti
Zalikhah Md.Nor 1999:25)
Semua dalil syarak lain iaitu al-Sunnah, al-Ijma’dan al-Qiyas
adalah bersandarkan al-Quran seperti firman Allah: (Surah Al-Hashr 59:7)
Maksudnya: Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari
harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia
tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah),
dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang
keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di
antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. dan apa jua perintah yang dibawa
oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua
yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. dan bertaqwalah
kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksanya (bagi
orang-orang yang melanggar perintahNya).
Ayat ini menunjukkan bahawa al-Sunnah adalah satu sumber daripada
sumber perundangan Islam.
F.
HUKUM-HUKUM
DALAM AL-QURAN
Al -Quran adalah asas bagi syariat Islam dan merupakan asal bagi
sumber-sumber syariah Islam. Oleh itu, terdapat beberapa hukum yang terdapat
dalam al-Quran iaitu hukum yang berkaitan dengan akidah, hukum yang berkaitan
dengan akhlak dan hukum yang berkaitan dengan amalan.
1)
Hukum Yang
Berkaitan Dengan Akidah
yang berkaitan dengan akidah
ialah mempercayai rukun iman iaitu percaya kepada Allah, percaya kepada malaikat,
percaya kepada kitab, percaya kepada para Rasul, percaya kepada hari kiamat,
percaya kepada qada’ dan qadar. Kepercayaan dan i’tiqad itu bersangkutan dengan
perbahasan ilmu Tauhid yang juga dikenali dengan ilmu Usul al-Din, ilmu Kalam,
ilmu Sifat dan ilmu Akidah. ( Abdullah Ishak 1997 : 53)
Firman Allah: ( Al-Mukmin 40:65)
Maksudnya: Dialah yang tetap hidup; tiada Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Dia; maka sembahlah kamu akan Dia dengan mengikhlaskan amal
agama kamu kepadaNya semata-mata. Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang
memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
2)
Hukum Yang
Berkaitan Dengan Akhlak
Hukum yang berkaitan dengan akhlak ialah hukum yang bersangkutan
dengan segala sifat terpuji bagi seseorang, sama ada pada jasmani ataupun rohani
seperti sifat sabar, ikhlas, pemurah, rajin, sopan dan tingkah laku yang baik.
Hukum yang membicarakan permasalahan tersebut adalah bersangkutan dengan ilmu
akhlak atau dikenali sebagai ilmu Tasawwuf. (Abdullah Ishak 1997 : 53)
Contohnya berkenaan dengan berbuat baik kepada kedua ibu bapa
sebagaimana firman Allah:
(Al-Nisa 4 : 36)
Maksudnya: Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah
kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik
kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang
miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan
sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki.
Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan
membangga-banggakan diri.
3)
Hukum Yang
Berkaitan Dengan Amalan
Hukum yang berkaitan dengan amalan terbahagi kepada dua bahagian
iaitu ibadat dan muamalat. Hukum berkaitan dengan ibadat seperti melakukan
ibadat terhadap Allah sama ada ibadat khusus dan ibadat umum. Melakukan
muamalat seperti melaksanakan urusan jual beli, sewa menyewa, gadai menggadai,
bersyarikat dan melakukan riba. (Abdullah Ishak 1997:54)
Contohnya ayat yang berkaitan dengan muamalat, firman Allah :
(Al-Baqarah 2:275)
Maksudnya:Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat
berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan
terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan
mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti
riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan
mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan
(larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang
telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan
perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi
(perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di
dalamnya.
Kesimpulannya, bahagian pertama iaitu hukum yang berhubung dengan
kepercayaan atau iktikad menjadi asas kepada agama Islam. Manakala bahagian
kedua, iaitu perkara yang berkaitan dengan akhlak dan bahagian ketiga berkaitan
dengan perbuatan mukallaf. Ketiga-tiga bahagian ini adalah saling berkaitan
antara satu dengan yang lain yang berperanan sebagai intisari terpenting yang
termaktub dalam al-Quran.
G.
DALALAH
AL-QURAN
Seperti yang diketahui al-Quran membincangkan hukum melalui tiga
aspek iaitu hukum yang berkaitan dengan akhlak, akidah serta amalan. Namun apa
yang ingin dibincangkan di sini bukanlah hukum dari sudut akhlak dan akidah,
tetapi apa yang ingin dibincangkan adalah lebih kepada hukum yang berkaitan
dengan amalan dan perbuatan mukallaf. Perundangan islam menetapkan hukum-hukum
tersebut sama ada berbentuk qat’iyy atau zanniyy
Berdasarkan penerangan mengenai hukum-hukum dalam al-Quran, kita
dapat mengetahui hukum bagi sesuatu perkara yang telah ditetapkan oleh Allah
kepada hambanya. Al-Quran turut juga menjelaskan mengenai cara dan bentuk
al-Quran menunjukkan hukum. Cara dan bentuk al-Quran menunjukkan hukum dalam
dua keadaan, iaitu dalam al-Quran terdapat hukum yang diterima secara qat’iyy
dan zanniyy. Justeru itu, al-Quran menerangkan hukum dalam perundangan dapat
dibahagikan kepada dua bentuk : (Abdul Latif Muda 1997:68-69)
Ø Hukum secara qat’iyy.
Ø Hukum secara zanniyy.
1)
Hukum secara
Qat’iyy
Qat’iyy ialah makna yang difaham daripada sesuatu lafaz hanya satu
atau tiada kebarangkalian makna lain yang boleh difahami daripada lafaz. Antara
ayat yang hukumnya diterima secara qat’iyy seperti firman Allah:
• الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا
كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَة
(Al-Nuur
24:2)
Maksudnya: Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina maka
sebatlah tiap seorang dari keduanya seratus sebatan.
Lafaz penzina dalam ayat tersebut adalah penetapan secara qat’iyy
atau pasti yang tidak dapat dipertikaikan lagi maksudnya serta hukumnya. Iaitu
penzina perempuan dan lelaki mestilah disebat dengan seratus sebatan.
2)
Hukum secara
Zanniyy
Zanniyy ialah suatu lafaz yang mempunyai kebarangkalian makna lebih
daripada satu. Contohnya tentang hukum iddah perempuan yang diceraikan, sama
ada tiga kali haid atau tiga kali suci, disebabkan kekeliruan perkataan quru’,
yang boleh ditafsirkan dengan erti suci atau haid. Seperti firman Allah:
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ
ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ
(Al-Baqarah 2:228)
Maksudnya: Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu
menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (haid).
Lafaz quru` dalam ayat tersebut adalah zanniyy kerana ia memberi
dua makna, iaitu haid atau suci.
H.
BENTUK
PENERANGAN HUKUM AL-QURAN
·
Ada tiga cara
al-Quran menerangkan mengenai hukum. Cara-cara itu ialah:
1)
Memberikan
keterangan secara keseluruhan (kulliyy) iaitu dengan menyebut kaedah dan
prinsip umum yang akan menjadi asas kepada hukum-hukum terperinci selanjutnya.
Antara
contoh keterangan seperti ini ialah:
a)
Perintah
berpegang dengan dasar syura sebagaimana yang diterangkan dalam firman Allah:
وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُم
(Al-‘Imran 3:159)
Maksudnya: Bermesyuaratlah dengan mereka tentang masalah berkenaan.
Syura yang dimaksudkan di sini hanya melibatkan perkara-perkara
yang boleh diijtihadkan kerana perkara-perkara qat’iyy adalah bersifat thabat.
b)
Perintah
berlaku adil seperti mana yang terdapat dalam firman Allah:
( Al-Nahl 16: 90)
Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan
berbuat kebajikan
c)
Hukum haram
menggunakan harta milik orang lain. Hal itu sebagaimana
dijelaskan dalam firman Allah :
وَلَا
تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ
(Al-Baqarah 2:188)
Maksudnya: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang
lain di antara kamu secara tidak sah (batil).
d)
Perintah
menunaikan janji. Hal tersebut sebagaimana dinyatakan dalam firman Allah:
(Al-Maidah 5:1)
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, tunailah janji
e)
Kaedah
keseksaan mesti sepadan dengan kesalahan sebagaimana dijelaskan dalam firman Allah:
(Al-Shura 42: 40)
Maksudnya: Perbuatan jahat balasannya jahat seperti itu juga.
2)
Menerangkan
hukum secara umum (ijmaliyy) sehingga memerlukan keterangan dan
perincian. Contoh-contoh hukum dari bentuk ini ialah:
a)
Hukum wajib
bersembahyang dan membayar zakat. Kewajipan ini diterangkan secara umum oleh
Allah dalam firmannya:
(Al-Nur: 56)
Maksudnya: Hendaklah kamu bersembahyang dan tunaikan zakat
Dalam ayat ini Allah tidak menerangkan berapa rakaat sembahyang itu
dan bagaimana ianya harus dilakukan. Begitu juga Allah tidak menerangkan dalam
ayat ini bagaimana dan berapa kadar yang harus dikeluarkan sebagai zakat.
Keterangan-keterangan secara terperinci mengenai masalah ini telah
dijelaskan oleh Sunnah kemudiannya.
Mengenai sembahyang Rasulullah bersabda :
صلوا كما رايتمونى أصل
( Bukhari dan Ahmad dan Darami )
Maksudnya : Bersembahyanglah sebagaimana kamu melihat aku
sembahyang”.
Mengenai zakat pula Rasulullah menjelaskan perintah yang dibuat
secara umum ini dengan menerangkan kadar dan cara mengeluarkannya dalam
beberapa hadis baginda.
b)
Kewajipan
mengerjakan ibadat haji seperti mana yang terdapat dalam firman Allah:
(Al-‘Imran 3:97)
Maksudnya : Bagi Tuhan atas manusia ( kewajipan ) menunaikan haji
bagi sesiapa sahaja yang mampu berbuat demikian
Bagi menerangkan perintah yang dibuat secara umum ini Rasulullah
memberitahu melalui hadis baginda yang mana beliau bersabda :
عنى منا سككمخذوا
(Muslim Abu Daud Ibn Majah Al-Nasai)
Maksudnya : Contohilah diriku, gerak kerja haji kamu semua.
c)
Kewajipan
melaksanakan hukum qisas sebagaimana dijelaskan dalam firman Allah:
(Al-Baqarah 2:178)
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, kamu semua diwajibkan
melaksanakan qisas.
Syarat-syarat qisas itu kemudiannya diterangkan oleh hadis-hadis nabi.
d)
Pengharaman
riba. Hal itu sebagaimana diterangkan dalam firman Allah:(Al-Baqarah 2: 275)
Maksudnya : Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.
Kemudian datang Sunnah Baginda s.a.w menerangkan apa maksud dan
bentuk jual beli serta apa bentuk riba itu.
3)
Keterangan
secara terperinci, sebagaimana yang terdapat pada ayat-ayat mengenai bahagian
pusaka, cara melakukan talak, li’an, mereka yang haram berkahwin dengannya dan
begitu juga setengah keseksaan yang diistilahkan sebagai “hudud”, seperti
hukuman terhadap penzina, pencuri, perompak dan sebagainya.
Kebanyakan keterangan secara terperinci atau tafsilyy ini terdapat
dalam ayat-ayat mengenai hukum akidah dan akhlak. Adapun hukum-hukum amali,
keterangan mengenainya biasanya dibuat secara prinsip atau secara umum.
Dalam menerangkan hukum-hukum ini al-Quran menggunakan
berbagai-bagai gaya. Ini mungkin sebagai suatu cara untuk menarik minat supaya
hukum-hukum yang diterangkan itu dihormati dengan sebaik-baiknya dan tidak
melanggari begitu sahaja.
Dalam sesetengah keadaan al-Quran menerangkan hukum wajib dengan
menggunakan kata suruh seperti mana dalam
firman Allah: (Al-Nur 24:56)
Maksudnya: Hendaklah kamu bersembahyang
Kadang-kadang untuk tujuan yang sama, al-Quran menjanjikan
pembalasan yang baik serta pahala kepada mereka yang melakukan sesuatu itu atau
memuji si pelakunya. Sebaliknya untuk menerangkan pengharaman, al-Quran
kadang-kadang menggunakan kata larangan seperti yang terdapat dalam firman
Allah : (Al-Baqarah 2:195)
Maksudnya: Janganlah kamu mencampakkan diri kamu sendiri ke lembah
kehancuran.
Dalam sesetengah hal ia mencerca orang yang melakukan perbuatan
yang dimaksudkan itu atau menjanjikan azab dan neraka serta laknat ke atas
orang yang melakukannya.
Ada juga hukum-hukum seperti itu diterangkan dengan cara menyifatkan
sesuatu perbuatan itu sebagai cemar atau fasik dan sebagainya.
Perbuatan-perbuatan tersebut biasanya harus diterangkan dengan cara menyebut
dan ianya harus dilakukan, diizin melakukannya serta tidak mengapa melakukannya
atau sebagainya. Kadang-kadang sesuatu hukum yang sama itu disebut beberapa
kali di tempat yang berlainan. Ini bertujuan untuk mengingatkan dan menegaskan.
(Mahmood Zuhdi b. Abdul Majid 1988: 50-52).
BAB III
PENUTUP
A.
KESIMPULAN
Al-Quran mempunyai pelbagai pengertian namun maksud yang ingin
disampaikan adalah sama, iaitu kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad
melalui perantaraan malaikat Jibril, diriwayatkan secara mutawatir dan dikira
ibadat bagi sesiapa yang membacanya.
Ciri-ciri al-Quran yang dapat dikelaskan disini ialah lafaz dan
makna al-Quran datang daripada Allah, dipindahkan secara mutawatir, isi
kandungannya terpelihara daripada penambahan dan pengurangan serta ayat-ayatnya
tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun.
Mukjizat al-Quran turut juga dibincangkan disini dan ia dipecahkan
kepada tiga sudut iaitu bahasa, isi kandungan dan ilmu. Melalui mukjizat yang
diceritakan ini maka sudah tentu al-Quran mempunyai kedudukan yang tinggi
sebagai sumber hukum. Hukum-hukum yang dibincang di dalam al-Quran dapat
dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu dari sudut akidah, amalan dan akhlak.
Al-Quran merupakan salah satu daripada sumber-sumber perundangan
yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi junjungan kita iaitu Nabi Muhammad
selama 23 tahun. Berdasarkan apa yang telah dijelaskan sebelum ini al-Quran
merupakan sumber perundangan yang pertama yang perlu diikuti oleh umat Islam.